Tiket Konsert Metallica Laris

 

image (1)

 

Tiket Konsert Metallica Laris

Kedatangan kumpulan rock lagenda, Metallica buat pertama kalinya ke Malaysia nyata dinantikan peminat setia mereka apabila tiga kategori tiket telah habis dijual menjelang tarikh konsert pada 21 Ogos ini.

Tiket berharga RM195, RM350 dan RM380 telah habis dijual manakala tiket berharga RM450, RM550 dan RM680 dilaporkan laris dan mendapat permintaan tinggi peminat.
Dianjurkan oleh Galaxy Group dengan kerjasama LAMC Productions dan Rockstar Touring, konsert ini mendapat publisiti meluas media malah peminat juga tentunya tidak sabar untuk melihat Metallica menyanyikan secara ‘live’ lagu-lagu hebat mereka seperti ‘Master of Puppets’, ‘Fuel’, ‘Memory Remains’, ‘Enter Sandman’, ‘The Unforgiven’, ‘Nothing Else Matters’ dan banyak lagi.

‘Karlos Bolos’ Gandingan Mantap Johan, Tiz Zaqyah & Syazwan

image

 

‘Karlos Bolos’ Gandingan Mantap Johan, Tiz Zaqyah & Syazwan

Sempena sambutan Aidilfitri, telefilem ‘Karlos Bolos’ bakal meneruskan kesinambungan drama siri slot Aksi ‘Karlos’. Kisah yang akan ditampilkan kali ini adalah prekuel di mana Karlos dan Kenji yang meloloskan diri dari Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima.

Menerusi produksi Frontrow Pictures Sdn Bhd, telefilem ini menampilkan pelakon hebat seperti Johan As’ari, Syazwan Zulkifly, Tiz Zaqyah, Zizan Razak, Rusdi Ramli, Namron, Sherlie Merlis, Dira Abu Zahar dan Jay Iswazir.
‘Karlos Bolos’ bermula selepas 18 bulan berada di Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima, Karlos (Johan As’ari) dan Kenji (Syazwan Zulkifly) sedang membuat persiapan untuk pertandingan pidato dan melakukan kajian dengan mencari maklumat di akhbar.
Ketika membuat kajian, Kenji telah ternampak sesuatu yang sangat menarik perhatiannya di dalam akhbar. Yang diperhatikan oleh Kenji adalah gambar seorang lelaki yang amat dibencinya iaitu Sunny (Zizan Razak).
Selepas dipujuk, barulah Kenji menceritakan perkara sebenar bahawa ibunya adalah seorang pelacur dan Sunny merupakan bapa ayamnya. Sunny juga bertanggungjawab memisahkan Kenji dari ibunya, Cuwie (Dira Abu Zahar). Tiba-tiba terkeluar dari mulut Kenji cadangan yang gila. Dia mahu keluar dari pusat tersebut untuk mencari Sunny. Mungkin dia boleh menyelamatkan ibunya yang berada entah di mana.
Karlos dan Kenji meloloskan diri dari pusat pada tengah malam dan tanpa disedari oleh pelatih lain. Oleh kerana terdesak tiada kereta yang hendak berhenti untuk mereka, Karlos dan Kenji bergegas ke stesen petrol. Kebetulan pada waktu itu, Ella (Tiz Zaqyah) dalam perjalanan hendak ke Kuala Lumpur dan dia berhenti sebentar untuk mengisi minyak. Karlos dan Kenji menggunakan peluang ini untuk mengugut membunuh Ella jika dia tidak memenuhi kehendak mereka.
Pada waktu yang sama, kehilangan Karlos dan Kenji disedari oleh ketua dorm ketika melakukan ‘dorm inspection’. Gerakan mencari dua remaja ini dikerah. Inspektor Mahadhir yang pernah menangkap Karlos dan Inspektor Azi (Rusdi Ramli) yang pernah menangkap Kenji berpadu untuk memburu dua pelatih Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima ini.
Berjayakah Karlos dan Kenji dalam pencarian mereka menjejaki Sunny dan ibu Kenji, Cuwie di kotaraya Kuala Lumpur? Atau tindakan gila dua remaja ini menjadi sia-sia dan hukuman berat menanti mereka?
Nantikan ‘Karlos Bolos’ pada Hari Raya Pertama (8 Ogos) jam 9.00 malam di TV3! Jika terlepas menyaksikan telemovie ini di televisyen, penonton juga boleh menonton menerusi ‘catch-up TV’ dalam tempoh 14 hari menggunakan komputer, telefon pintar atau tablet dengan melayari portal www.tonton.com.my pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.

Zul Ariffin Pengsan, Menghidap Darah Tinggi Sejak Usia 23 Tahun

ohartis-zul-ariffin-pengsan-hidap-darah-tinggi

Zul Ariffin Pengsan, Menghidap Darah Tinggi Sejak Usia 23 Tahun

Pelakon Zul Ariffin memuatnaik sekeping gambar dirinya dalam keadaan cedera dimuka di laman sosial Instagram baru-baru ini. Zul yang dihubungi untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang keadaan kesihatannya menjawab;

“Sebenarnya, insiden itu berlaku pada sambutan hari raya keempat. Kejadian itu berlaku di dalam bilik saya di kampung halaman, Taiping, Perak. Saya bangun dari tidur, ketika itu waktu Subuh. Sejurus selepas saya bangun, saya terus pitam. Malangnya, muka saya terkena almari di dalam bilik saya,” jelas Zul memulakan bicara.

“Saya terus dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan dan pemeriksaan. Syukur, tiada apa-apa yang serius berlaku kepada saya, cuma parut di bahagian muka sahaja. Saya memang mempunyai sakit darah tinggi semenjak berusia 23 tahun. Namun ketika menjalani pemeriksaan lanjut, pihak hospital menjelaskan yang saya pitam bukan berpunca daripada penyakit darah tinggi. Tapi, saya percaya kejadian itu sedikit sebanyak disebabkan oleh penyakit itu. Maklumlah, musim raya, jadi saya dihidangkan dengan banyak makanan yang memberi kesan kepada sakit ini,” tutur hero drama ‘Kabin di Tepi Tasik’ ini.

“Setakat ini, semuanya baik-baik sahaja. Saya baru sahaja menjalani pemeriksaan dengan pakar kulit dan dia menjelaskan parut di muka saya akan sembuh dalam masa dua hingga ke empat minggu lagi. Saya juga meneruskan aktiviti seni seperti biasa. Apabila saya menjalani penggambaran, jurusolek akan menutup parut di muka saya dengan kesan solekan,” ulas Zul lagi.

Bercakap menngenai sambutan Syawal baru-baru ini, Zul menjelaskan dia menyambut ketibaan Aidilfitri secara sederhana sahaja. Dalam perkembangan terbaru, Zul bakal menjalani penggambaran drama bersiri untuk slot Akasia TV3 yang berjudul ‘Janji Adam’.