Category Archives: Berita Hiburan

Tiket Konsert Metallica Laris

 

image (1)

 

Tiket Konsert Metallica Laris

Kedatangan kumpulan rock lagenda, Metallica buat pertama kalinya ke Malaysia nyata dinantikan peminat setia mereka apabila tiga kategori tiket telah habis dijual menjelang tarikh konsert pada 21 Ogos ini.

Tiket berharga RM195, RM350 dan RM380 telah habis dijual manakala tiket berharga RM450, RM550 dan RM680 dilaporkan laris dan mendapat permintaan tinggi peminat.
Dianjurkan oleh Galaxy Group dengan kerjasama LAMC Productions dan Rockstar Touring, konsert ini mendapat publisiti meluas media malah peminat juga tentunya tidak sabar untuk melihat Metallica menyanyikan secara ‘live’ lagu-lagu hebat mereka seperti ‘Master of Puppets’, ‘Fuel’, ‘Memory Remains’, ‘Enter Sandman’, ‘The Unforgiven’, ‘Nothing Else Matters’ dan banyak lagi.

‘Karlos Bolos’ Gandingan Mantap Johan, Tiz Zaqyah & Syazwan

image

 

‘Karlos Bolos’ Gandingan Mantap Johan, Tiz Zaqyah & Syazwan

Sempena sambutan Aidilfitri, telefilem ‘Karlos Bolos’ bakal meneruskan kesinambungan drama siri slot Aksi ‘Karlos’. Kisah yang akan ditampilkan kali ini adalah prekuel di mana Karlos dan Kenji yang meloloskan diri dari Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima.

Menerusi produksi Frontrow Pictures Sdn Bhd, telefilem ini menampilkan pelakon hebat seperti Johan As’ari, Syazwan Zulkifly, Tiz Zaqyah, Zizan Razak, Rusdi Ramli, Namron, Sherlie Merlis, Dira Abu Zahar dan Jay Iswazir.
‘Karlos Bolos’ bermula selepas 18 bulan berada di Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima, Karlos (Johan As’ari) dan Kenji (Syazwan Zulkifly) sedang membuat persiapan untuk pertandingan pidato dan melakukan kajian dengan mencari maklumat di akhbar.
Ketika membuat kajian, Kenji telah ternampak sesuatu yang sangat menarik perhatiannya di dalam akhbar. Yang diperhatikan oleh Kenji adalah gambar seorang lelaki yang amat dibencinya iaitu Sunny (Zizan Razak).
Selepas dipujuk, barulah Kenji menceritakan perkara sebenar bahawa ibunya adalah seorang pelacur dan Sunny merupakan bapa ayamnya. Sunny juga bertanggungjawab memisahkan Kenji dari ibunya, Cuwie (Dira Abu Zahar). Tiba-tiba terkeluar dari mulut Kenji cadangan yang gila. Dia mahu keluar dari pusat tersebut untuk mencari Sunny. Mungkin dia boleh menyelamatkan ibunya yang berada entah di mana.
Karlos dan Kenji meloloskan diri dari pusat pada tengah malam dan tanpa disedari oleh pelatih lain. Oleh kerana terdesak tiada kereta yang hendak berhenti untuk mereka, Karlos dan Kenji bergegas ke stesen petrol. Kebetulan pada waktu itu, Ella (Tiz Zaqyah) dalam perjalanan hendak ke Kuala Lumpur dan dia berhenti sebentar untuk mengisi minyak. Karlos dan Kenji menggunakan peluang ini untuk mengugut membunuh Ella jika dia tidak memenuhi kehendak mereka.
Pada waktu yang sama, kehilangan Karlos dan Kenji disedari oleh ketua dorm ketika melakukan ‘dorm inspection’. Gerakan mencari dua remaja ini dikerah. Inspektor Mahadhir yang pernah menangkap Karlos dan Inspektor Azi (Rusdi Ramli) yang pernah menangkap Kenji berpadu untuk memburu dua pelatih Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima ini.
Berjayakah Karlos dan Kenji dalam pencarian mereka menjejaki Sunny dan ibu Kenji, Cuwie di kotaraya Kuala Lumpur? Atau tindakan gila dua remaja ini menjadi sia-sia dan hukuman berat menanti mereka?
Nantikan ‘Karlos Bolos’ pada Hari Raya Pertama (8 Ogos) jam 9.00 malam di TV3! Jika terlepas menyaksikan telemovie ini di televisyen, penonton juga boleh menonton menerusi ‘catch-up TV’ dalam tempoh 14 hari menggunakan komputer, telefon pintar atau tablet dengan melayari portal www.tonton.com.my pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.

Nama Tengku Cleopatra Haidar Tiada Kaitan Dengan Ratu Firaun – Que Haidar

Nama Tengku Cleopatra Haidar Tiada Kaitan Dengan Ratu Firaun – Que Haidar

Pastinya anda semua mengetahui yang nama anak perempuan Que Haidar dan Linda Jasmine ialah Tengku Cleopatra Haidar. Anak kedua pasangan ini telah dilahirkan pada bulan April lepas. Pemberian nama Cleopatra telah menimbulkan persoalan kepada orang ramai kerana ianya dikaitkan dengan nama seorang ratu Firaun.

Namun Que Haidar yang telah ditemui oleh wartawan Mstar Online memberitahu yang persoalan tersebut adalah tidak masuk akal sama sekali. Menurut Que, nama tersebut telah dipilih daripada bahasa Greek yang menggambarkan seorang wanita cekal dan berkepimpinan tinggi. Kata Que:-

“Semasa membuat pemilihan nama itu saya dan isteri langsung tidak terfikir tentang kaitan nama itu dengan seorang ratu Firaun sebaliknya lebih tertumpu kepada gambaran seorang wanita yang tabah dan cekal dalam kehidupannya. Apabila orang mengatakan saya memberi nama yang tidak elok kepada anak, ia satu tuduhan yang tidak betul. Ibu bapa tidak akan berbuat demikian malah kita sentiasa mahukan yang terbaik buat zuriat kita”.

Pemilihan nama Cleopatra telah dilakukan oleh Que dengan persetujuan daripada isterinya sendiri. Bagi Que, apa yang penting ialah didikan yang diberikan mampu menjadikan anaknya mempunyai pegangan agama yang kuat. Kata Que:-

“Saya sendiri yang iqamatkan anak-anak saya dan mereka adalah seorang Islam. Apa yang lebih penting bagaimana anak-anak saya dibesarkan dan bukannya pada nama”.

Diharap dengan penjelasan ini, tiada lagi sesiapa yang mempersoalkan hal ini lagi di masa hadapan.